Saturday, January 7, 2012

KAEDAH PENGAJARAN BAGHDADIAH (muqaddam)






Pengenalan

Pengasas kaedah Baghdadiah ialah Abu Mansor Hafzul Fikri Al-Baghdadi pada tahun 376 Hijrah.   Kaedah tersebut  memperkenalkan huruf secara analisa berperingkat-peringkat dengan cara latih tubi dan pengulangan. Kaedah ini telah tersebar dan berkembang ke seluruh ceruk rantau dunia hingga ke saat ini. Ia telah menjangkau 1049 tahun dan telah menyumbangkan jasa yang besar kepada umat Islam.  Kaedah Bagdadiah ini begitu popular di kalangan umat Islam seluruh dunia sejak zaman berzaman.  Hanya pada tahun 1990  an sahaja kaedah Iqra`, Qiraati dan lain-lain mula dikenali umat Islam.
                                           
Kaedah Baghdadiah

Kaedah Baghdadiah ini umumnya  menggunakan kaedah mengeja dan membunyikan ejaan tersebut.  Kaedah ini terlebih dahulu memperkenalkan huruf-huruf hijaiyyah dengan cara menyebut nama huruf dari    ا    hingga   ي    secara latih tubi hingga hafaz.  Selepas itu murid-murid diajar mengeja huruf tunggal berbaris di atas dan membunyikannya.  Seterusnya murid-murid diajar mengeja huruf tunggal yang bercampur baris-baris lain, iaitu baris satu di atas, di bawah di depan serta membunyikannya.  Mengeja kalimah-kalimah yang terdapat tanda sukun, tanda tasydid dan membunyikannya.  Begitulah seterusnya mengeja dan membunyikan kalimah-kalimah yang mempunyai baris dan tanda bacaan yang berlainan,terdiri daripada dua suku kata atau lebih dari empat suku kata.  Ada bacaan panjang, pendek, dengung dan tidak dengung.

Seterusnya kaedah al-Baghdadiah mengajar murid-murid membaca petikan ayat-ayat al-Quran tanpa mengeja lagi.  Jika murid ini boleh membaca petikan ayat-ayat al-Quran tersebut, maka ia boleh membaca ayat-ayat al-Quran yang lain dan surah-surah daripada surah al-Fatihah, an-Nas hingga surah an-Naba`.  Kebanyakan guru-guru yang menggunakan kaedah ini biasanya menyuruh murid-murid menghafaz surah-surah lazim seperti surah al-Fatihah hingga surah al-Dhuha.  Walaupun murid-murid itu belum mengenal huruf-huruf  hijaiyyah dan belum boleh membaca kalimah-kalimah pendek.  Dalam kaedah Baghdadiah, pelajaran ilmu tajwid diajarkan menerusi surah-surah pendek daripada al-Quran yang dirangkai dengan kitab itu, disusun berurutan secara “berkaedah” daripada yang mudah, sederhana kepada yang sukar.

Panduan kaedah Baghdadiah

1.         Mengenalkan huruf-huruf hijaiyah dari  ا  hingga  ي    secara latih tubi
sehingga hafaz.
2.         Murid diajar mengeja huruf tunggal berbaris di atas dan membunyikannya.
3.         Murid diajar mengeja huruf tunggal yang becampur baris iaitu baris satu di
            atas, di bawah dan di depan serta membunyikannya.
4.         Murid diajar mengeja huruf bertasydid yang besambung dengan ا  dan 
            ي   serta membunyikannya.
5.         Murid diajar mengeja huruf    ا ،  و     dan  ي    bertanda mati dan bersambung dengan satu huruf serta membunyikannya.
6.         Murid diajar mengeja kalimah-kalimah yang ada huruf  ا ،  و     dan  ي    bertanda mati dan bersambung dengan “  كم  serta membunyikannya.
7.         Mengeja kalimah-kalimah yang terdapat huruf nun bertasydid dan membunyikannya.
8.         Seterusnya mengeja dan membunyikan kalimah-kalimah yang mempunyai baris dan tanda bacaan yang berlainan yang terdiri daripada dua suku kata, tiga suku kata atau empat suku kata atau lebih.  Ada bacaan panjang, ada bacaan pendek dan ada bacaan dengung dan tidak dengung.
9.         Mengajar murid membaca petikan ayat-ayat al-Quran tanpa mengeja lagi.
10.       Setelah murid menguasai petikan-petikan ayat, maka mereka bolehlah membaca ayat-ayat al-Quran yang lain dari surah al-Fatihah, an-Nas  hingga an-Naba`. 
 11.      Pelajaran ilmu tajwid diajarkan menerusi surah-surah pendek daripada al-
            Quran mulai surah al-Fatihah, an-Nas hingga surah an-Naba`, iaitu
            menggunakan kaedah daripada yang mudah, sederhana kepada yang sukar.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Video pilihan

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More